minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

Hukuman penjara ke atas Rahim Noor kekal

KUALA LUMPUR, 15 Disember (Hrkh) - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak rayuan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor kerana memukul bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan mengekalkan hukuman penjara dua bulan yang dijatuhkan sebelum ini.

Bagaimanapun, hakim Dato' Zulkifli Ahmad Makinudin membenarkan rayuan untuk mengurangkan denda RM2,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Hukuman ke atas Rahim ditangguhkan berikutan permohonan peguam Rahim untuk membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Rahim telah dijatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Mac 2000 setelah mengaku salah memukul Anwar Ibrahim ketika berada dalam tahanan polis di lokap polis Bukit Aman.

Rahim mengaku bersalah memukul Anwar dalam keadaan matanya tertutup, tangannya bergari ke belakang pada 20 September 1998 yang dikenali sebagai "Tragedi Mata Lebam".

Selepas dipukul, Anwar telah pengsan dan dibiarkan dalam keadaan terbaring beberapa jam sebelum diberikann rawatan oleh seorang doktor.

Sekarang, Anwar sedang membuat pertimbangan untuk membedah atau tidak sakit tulang belakang yang dihidapinya.

Menurut sumber, pakar dalam negeri tidak mempunyai cukup keyakinan untuk membedah Anwar.


HUKUMAN PENJARA DUA BULAN TERHADAP RAHIM NOOR DIKEKALKAN

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara dua bulan yang dijatuhkan terhadap bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor oleh Mahkamah Sesyen pada 15 Mac lepas kerana memukul Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, mahkamah mengenepikan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara yang dikenakan terhadap Abdul Rahim serta memerintahkan amaun itu, jika telah dibayar, dikembalikan kepadanya.

Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin membuat keputusan itu setelah menolak rayuan Abdul Rahim yang diwakili peguam K.Kumaraendran, berhubung hukuman penjara dan membenarkan rayuan beliau bersabit hukuman denda yang dijatuhkan terhadapnya oleh hakim Mahkamah Sesyen.

Zulkefli bagaimanapun membenarkan permohonan Abdul Rahim bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan serta mengekalkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadap beliau sebelum ini.

Hukuman itu dijatuhkan terhadap Abdul Rahim, 56, selepas beliau mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan iaitu secara sukarela mencederakan Anwar di lokap Bukit Aman pada pukul 10.45 malam, 20 Sept, 1998.

Abdul Rahim yang meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara pada 8 Jan tahun lepas, mengaku di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja bahawa beliau telah memukul Anwar yang ketika itu ditahan di ibu pejabat polis Persekutuan di sini.

Anwar, bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, ditahan kerana mengetuai demonstrasi jalanan bersama-sama penyokongnya bagi membantah pemecatan beliau daripada kabinet pada 2 Sept 1998.

Abdul Rahim memberitahu siasatan itu bahawa beliau menyerang Anwar setelah dihina oleh Anwar yang memanggil beliau "bapa anjing".

Dalam penghakimannya, Hakim Zulkefli berpendapat hukuman penjara dua bulan yang dijatuhkan terhadap Abdul Rahim adalah tidak terlampau ringan dan ianya berpatutan.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen Akhtar Tahir telah dengan betul mempertimbangkan akan seriusnya kesalahan yang dilakukan oleh Abdul Rahim dan kemudian telah mengimbangi diantara kepentingan awam dengan kepentingan bekas ketua polis negara itu dalam menjatuhkan hukuman penjara tersebut.

"Oleh itu, hukuman dua bulan penjara adalah sejajar dengan fakta-fakta kesalahan yang dikenakan ke atas perayu dan pada pandangan saya hukuman yang sedemikian akan sebaik mungkinnya dapat menyampaikan kehendak kepentingan awam," katanya.

Berhubung hukuman denda, Hakim Zulkefli berkata Akhtar telah mengenakan amaun maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang terhadap Abdul Rahim tanpa memberikan sebarang alasan mengapa keputusan sedemikian dibuat.

"Oleh yang demikian dengan ketiadaan alasan-alasan kenapa hukuman denda tersebut dikenakan, saya mendapati denda tersebut adalah tidak sesuai dan berpatutan dan ianya hendaklah diketepikan," kata Hakim Zulkefli.

Beliau juga menolak rayuan balas pihak pendakwaan yang mahukan hukuman penjara terhadap Abdul Rahim ditambah.

Hakim Zulkefli yang menyediakan penghakiman bertulis yang mengandungi 22 muka surat, hanya mengambil masa lima minit untuk menyampaikan keputusan itu dengan membaca beberapa muka surat terakhir penghakimannya itu.

Beliau berkata kuasa menghukum adalah terletak di atas budi bicara mahkamah yang membicarakan sesuatu kes.

"Mahkamah tersebut mempunyai hak dan tanggungjawab sama ada akan bersikap lembut atau keras, tetapi budi bicara tersebut hendaklah dilaksanakan menurut prinsip-prinsip penilaian hukuman yang telah diterima pakai selama ini," katanya.

Hakim Zulkefli berkata beliau bersetuju dengan Akhtar bahawa kesalahan yang dilakukan oleh Abdul Rahim adalah "sesuatu yang amat serius" dan hukuman yang dijatuhkan mestilah berbentuk pencegahan untuk memberi pengajaran kepada anggota-anggota polis supaya tidak mengetepikan undang-undang semasa menjalankan tugas mereka.

"Sungguhpun diakui bahawa tugas penyenggaraan undang-undang dan ketenteraman awam oleh pihak polis adalah berat dan mencabar, pihak polis sepatutnya harus tidak lupa bahawa undang-undang negara melindungi setiap orang yang tinggal di negara ini," kata beliau.

Katanya tiada seorang pun, tidak kira status kedudukannya, boleh bertindak sesuka hati dengan membelakangkan undang-undang.

"Pegawai-pegawai polis adalah penjaga undang-undang dan mereka adalah diharapkan mempertahankan dan bukan melanggar undang-undang," kata Hakim Zulkefli.

Beliau berkata mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Sesyen tidak membezakan pengadilan terhadap Abdul Rahim dengan warganegara yang lain, hanya kerana beliau adalah seorang Ketua Polis Negara.

Hakim Zulkefli berkata beliau bersetuju dengan gambaran Hakim Mahkamah Sesyen bahawa perbuatan Abdul Rahim mencederakan Anwar yang tidak mempunyai apa-apa cara untuk mempertahankan diri di dalam lokap, adalah kejam.

"Sebagai seorang pegawai nombor satu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, perayu sepatutnya dapat mengawal perasaan emosinya dan memperlihatkan sikap berhati-hati yang tinggi dan tidak melibatkan dirinya dalam perbuatan yang memalukan ini.

"Kita perlu sedar bahawa tindakan mencederakan mereka yang berada di dalam tahanan polis adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh masyarakat sama ada di dalam mahupun di luar negara," kata beliau.

Katanya lagi, tindakan sebegini sudah pasti mencemarkan nama baik pihak polis dan negara amnya.

Turut hadir dalam prosiding hari ini adalah peguam Karpal Singh, S.N.Nair dan Gobind Singh Deo yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak Anwar.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Sallehuddin Saidin dan Dzulkifli Ahmad.

Sementara itu, Abdul Rahim yang memakai sut kelabu kelihatan tenang semasa keputusan disampaikan oleh Hakim Zulkefli.

-- BERNAMA

 

 
 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter